Thursday, August 25, 2011

Industri Kraftangan

Hutan amat penting dalam persekitaran kehidupan manusia. Kewujudan Malaysia di kawasan hutan hujan tropika, iaitu hutan yang paling tua di dunia dan kaya dengan pelbagai spesies telah menyumbangkan banyak hasil hutan. Hasil hutan yang banyak ini telah memberikan sumbangan kepada peningkatan sumber ekonomi negara serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Hasil hutan adalah terdiri daripada kayu, haiwan dan bukan kayu. Antara hasil hutan bukan kayu yang penting ialah rotan dan buluh. Rotan dan buluh ini mempunyai banyak fungsi iaitu untuk dibuat perabot dan kraftangan. Pada hari ini, industri kraftangan semakin berkembang berbanding sebelum ini kerana pengeluaran kayu semakin dihadkan untuk mengawal penebangan hutan. Melalui penulisan ini, akan dijelaskan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kraftangan di Malaysia, merangkumi apa itu kraftangan, sumbangan dan juga isu-isu yang sering melibatkan industri kecil dan sederhana ini.

  
1.0           PENGENALAN HUTAN DI MALAYSIA
Hutan boleh dikatakan sebuah kawasan yang bersifat semulajadi dan unik.  Kebanyakan hutan di Malaysia telah berusia beribu-ribu tahun atau mungkin  berjuta-juta tahun. Ini terbukti dengan terdapatnya pokok-pokok yang besar dan ketinggian telah mencapai 50 meter. Hutan di Malaysia terdiri daripada hutan kawasan tanah tinggi, kawasan tanah pamah dan kawasan paya termasuklah hutan paya bakau. Malaysia telah dikenalpasti sebagai salah satu daripada 12 kawasan mega-diversiti di dunia yang mempunyai sumber kekayaan biologi yang terunggul. Hutan hujan tropika yang kaya dengan sumber biologi dan ekosistem yang kompleks meliputi sebahagian besar daripada muka bumi negara ini, (Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia, 2005). Malaysia yang terdiri daripada gabungan 13 buah negeri dan 3 Wilayah Persekutuan, mempunyai keluasan 32.83 juta hektar iaitu seluas 13.16 juta hektar di Semenanjung Malaysia, 7.37 juta hektar di Sabah dan 12.30 juta hektar di Sarawak. Daripada keluasan 32.83 juta hektar tersebut, terdapat 19.52 juta hektar kawasan yang dilitupi hutan dan 5.27 juta hektar yang ditumbuhi dengan pokok tanaman industri seperti pokok getah, kelapa sawit, koko dan kelapa, (Malaysian Timber Council, 2004). Malaysia adalah antara negara-negara membangun seperti Brazil, Indonesia, Filipina dan Thailand yang mempunyai kawasan hutan dengan peratusan yang tinggi (Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia, 2005). Untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, terdapat 24.5% daripada jumlah keseluruhan kawasan hutan digunakan untuk tujuan-tujuan pengeluaran hasil hutan dan pembangunan industri termasuklah pengeluaran produk yang berasaskan hasil hutan seperti keluaran kayu dan kraftangan. Daripada 19.42 juta hektar jumlah keseluruhan kawasan hutan, 74% atau 14.29 juta hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 serta enakmen-enakmen dan ordinan-ordinan negeri yang berkaitan. Kawasan seluas 1.83 juta hektar di luar Hutan Simpanan Kekal pula diwartakan sebagai Taman Negara dan taman-taman hidupan liar di bawah pelbagai perundangan. Malaysia telah mengeluarkan produk-produk kayu keras tropika lebih daripada satu abad. Hari ini, ia masih kekal di antara pengeksport utama dunia bagi produk-produk kayu keras tropika (kayu balak, kayu bergergaji, papan lapis, kayu fiber berketumpatan sederhana, kayu cip, venir dan lain-lain produk panel, kayu kumai, kayu pembinaan dan pertukangan , perabot kayu dan juga produk rotan). Mengikut statistik FAO (2006), nilai eksport kayu dan produk kayu Malaysia pada 2004 ialah USD3.53 bilion, berbanding Kanada (USD29.4 bilion), Jerman (USD15.91 bilion), Amerika Syarikat (USD15.69 bilion), Finland (USD13.54 bilion), Sweden (USD12.9 bilion), Austria (USD6.21 bilion) dan China (USD5.2 bilion). Hutan membekalkan banyak produk dan hasil kepada manusia. Kayu-kayan yang didapati dari pokok-pokok di hutan memberikan hasil papan, papan lapis dan kepingan-kepingan papan. Kayu-kayan ini juga boleh digunakan dalam membuat perabot, kraftangan dan pelbagai jenis produk lagi. Salah satu sumber industri kayu yang penting adalah penghasilan kertas. Kertas yang dihasilkan itu dapat digunakan bagi pelbagai tujuan pada hari ini. Selain kertas, pelbagai bahan lain turut dapat dihasilkan seperti industri perabot berasaskan kayu sama ada untuk jualan tempatan ataupun antarabangsa. Di samping itu, sumber hutan bukan kayu juga berupaya menjana pengeluaran produk dan ekonomi penduduk melalui penghasilan kraftangan.

2.0           PENGENALAN KRAFTANGAN
Malaysia bertuah memiliki hasil alam yang dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi rakyat tempatan. Bidang hasil rimba seperti bahan daripada kayu, buluh, rotan, mengkuang, pandan, bemban, tempurung kelapa dan daun serdang gigih diusahakan oleh usahawan kraf tempatan untuk produk kraftangan. Produk-produk ini mempunyai pasaran yang luas pada masa kini sama ada untuk pasaran tempatan dan pasaran antarabangsa. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), mentakrifkan kraftangan ialah kerja penghasilan peralatan berguna atau hiasan dengan menggunakan tangan sepenuhnya atau perkakas ringkas sahaja. Pertukangan kraftangan seharusnya dikerjakan secara perseorangan atau kecil-kecilan. Hasil kraftangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan atau keagamaan. Manakala keluaran kraftangan ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan. Kraftangan juga termasuk semua barangan seni yang menjadi tarikan masyarakat atau mempunyai tarikan unsur tradisional yang menunjukkan proses pembentukan. Pembentukan dengan menggunakan kemahiran tangan boleh juga meliputi penggunaan mesin atau alat-alat yang ada. Manakala Peter Dolmer (1997), mentafsirkan makna kraf sebagai aktiviti kreatif berkemahiran dan penelitian proses-proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan seni anyaman. Ini menunjukkan bahawa ianya memerlukan pemikiran saintifik dan matematik yang kompleks dan rumit yang selalunya hanya dianggap sebagai simbol tanda kepekaan yang asli atau hasil kerja seni. Sementara itu, menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf mempunyai aturan dalam penghasilannya. Pengamal kraf disebut tukang, bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki sejak turun-temurun. Penghayatan seni kraf mengambil kira aspek berikut; pertama adalah pengetahuan dan pengalaman tukang dan kedua, kemahiran tukang dalam mengaplikasikan teknik penghasilannya. Justeru, kraf tradisi ini mencetuskan keindahan, kehalusan dan keaslian yang tersembunyi malah motif-motif disampaikan adalah satu cerminan terhadap nilai kepercayaan dan adat budaya masyarakat mereka. Kraftangan mempunyai tiga ciri utama iaitu hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama serta keperluan tradisional. Ketiga-tiga ciri ini digabungkan untuk mewujudkan satu nilai estetika yang menggunakan tenaga manusia sendiri tanpa alat yang berteknologi tinggi dan biasanya hasil kraftangan adalah bersifat sederhana dan tidak terlalu kompleks seperti keluaran lain. Terdapat pelbagai jenis hasil kraftangan yang boleh diperolehi bersumberkan hasil hutan seperti perabot-perabot contohnya almari, kerusi malas, meja dan sebagainya.

3.0           SUMBER KRAFTANGAN YANG DIHASILKAN
Hasil kraftangan telah bermula sejak dahulu lagi dan diperturunkan kepada generasi ke generasi dan menjadi satu kemahiran sesuatu kaum atau bangsa. Kegiatan pengeluaran barang kraftangan ini dahulu berkaitan dengan kepercayaan agama, tradisi sesuatu puak atau kaum. Pada kebiasanya, kegiatan-kegiatan seperti ini tidak mementingkan soal ekonomi atau harga kepada hasil tersebut sebaliknya lebih mementingkan kepuasan kepada penciptanya dan juga keindahan kepada barangan yang dihasilkan. Secara amnya, kraftangan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu; secara formal iaitu pengeluaran produk oleh pengusaha secara sepenuh masa dan secara tidak formal iaitu dilakukan oleh pengusaha untuk tujuan sementara dan sebagai suatu hobi. Berikut adalah antara sumber utama dalam penghasilan kraftangan yang diperolehi daripada hutan.

3.1           Rotan
Rotan merupakan sumber hutan bukan kayu yang mempunyai pelbagai fungsi dalam pembuatan kraftangan dan perabot. Melalui sumber ini boleh digunakan untuk menghasilkan barangan yang bermutu dan mempunyai nilai yang tinggi di pasaran. Rotan berasal dari Famili Palme dan dikelaskan dalam kumpulan yang terbesar iaitu parafamili calamoideae. Ia mempunyai batang berduri dan memanjat tetapi terdapat juga jenis yang tidak memanjat. Terdapat 13 genus rotan di dunia iaitu Calamus, Daemonorops, Karthalsia, Plectocomia, Plectocomiopsis, Myrialepis, Ceratolobus, Calospatha, Pogonotium, Retispatha, Laccosperma, Eremospatha, dan Onecocalamus. Hampir 600 jenis rotan dihasilkan daripada 13 genus ini. Daripada 107 jenis rotan yang ditemuai di Semenanjung Malaysia, hanya 20 jenis sahaja yang dikenal pasti kegunaannya serta mempunyai nilai komersil. Antaranya ialah rotan manau (Calamus manau), rotan matang atau dikenali juga sebagai rotan dok (C. ornatus), rotan manau tikus (C. tumidus), rotan semambu (C. scipionum), rotan dahan (Karthalsia sp) dan rotan sega (C. caesius). Ciri-ciri rotan ialah ringan, kuat dan mudah dibentuk, serta murah. Keistimewan rotan ialah cepat tumbuh serta dianggap lebih mendatangkan keuntungan berbanding dengan perabot yang diperbuat daripada bahan kayu. Selain memiliki kekuatan, rotan juga lebih ringan dan mudah untuk dipindahkan. Rotan memberi sumbangan ekonomi melalui pemprosesan perabot dan kraftangan. Antara perabot yang dihasilkan ialah kerusi, meja, katil, serta perkakas dapur. Rotan jenis belah biasanya digunakan untuk mengayam tikar ataupun lapik.

3.2           Buluh
Seperti rotan, buluh juga merupakan antara sumber utama dalam penghasilan kraftangan. Buluh berasal dari famili rumput (Graminea) dan dikelaskan dalam parafamili Bambusae. Ia merupakan rumput yang terbesar di dunia dan boleh mencapai ketinggian 40m dengan batang sebesar 30cm. Terdapat 75 genus dan sebanyak 1250 jenis tersebar di seluruh dunia. Pada masa dahulu, buluh dianggap sebagai rumpai di dalam hutan, tetapi sekarang ia dikenali sebagai tumbuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan. Industri perabot dan kraftangan buluh telah berkembang maju pada masa kini. Buluh yang mempunyai serabut dengan purata panjang 3.45mm boleh menghasilkan kertas seperti pokok kayu konifer di negara berhawa sederhana. Di Malaysia, terdapat dua jenis buluh yang digunakan untuk menghasilkan kertas iaitu Dendrocalamus giganteus (Giant bamboo) dan Dendrocalamus asper (Asper). Kegunaan buluh yang lain adalah juga boleh ditanam untuk mengawal hakisan tanah kerana ia dapat hidup dengan baik di kawasan yang mungkin menimbulkan masalah untuk tanaman lain. Ia mengeluarkan banyak rizom yang dapat menghasilkan daya pengikat tanah yang kuat. Bak kata pepatah Melayu ‘seperti aur dengan tebing’. Buluh juga digunakan dalam pembinaan rumah sebagai rangka atap dan dinding, bakul sayur, batang colok, reban atau kandang binatang ternakan serta menguat konkrit dalam pembinaan jalan raya. Buluh juga dijadikan sebagai hiasan dan juga bonsai.

Rajah 1 : Jenis-jenis Anyaman dalam Kraftangan

Jenis Anyaman
Bahan
Hasil Anyaman
Anyaman Mengkuang
Daun Mengkuang
Tikar, tudung saji, bekas pakaian dan lain-lain
Anyaman Pandan
Daun Pandan Duri
Tikar sembahyang, tikar lantai, hiasan dinding
Anyaman Buluh
Jenis-jenis buluh yang sesuai
Bakul, bekas pakaian, nyiru, beg dan lain-lain
Anyaman Rotan
Rotan yang telah diproses
Bakul, bekas pakaian, tempat buaian anak dan lain-lain
Anyaman Lidi
Lidi Kelapa
Lekar, bekas buah, bekas telur
Anyaman Ribu-ribu
Paku pakis ribu-ribu
Tempat tembakau, bekas sirih terbus, bakul, bekas serba guna dan lain-lain


Rajah 2 : Kategori Buluh dan Kegunaanya

Nama Tempatan
Jenis / Nama Saintifik
Kegunaannya
Buluh Duri
Bambusa blumeana
Kayu penyepit, perabot, alat muzik, tiang sanggaran
Buluh Galah
Bambusa heterostachya
Dijadikan galah, pencucuk sate, bidal
Buluh Minyak
Bambusa vulgaris
Ornamental, pencucuk sate, kayu penyepit, rebung
Buluh Betong
Dendrocalamus asper
Barangan higo, rebung
Buluh Akar/Tali
Dendrocalamus pendulus
Bakul, lidisate, Almari
Buluh Brang
Gigantocholoa spp.(brang)
Barangan higo, raga kegunaan harian, rebung
Buluh Beting
Gigantochloa levis
Kerusi
Buluh Tumpat
Gigantochloa ligulata
Penyidai kain
Buluh Semantan
Gigantochloa wrayi
Kraftangan, bidal , rebung
Buluh Beti/raga
Schizostachyum branchycladum
Raga, Almari
Buluh Semeliang
Schizostachyum grende
Rak Kasut

(Sumber: Siti Zainon Ismail (1986), Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

Berniaga barangan sektor pembuatan khususnya kraf tangan buatan tempatan merupakan satu bidang yang memerlukan kesabaran dan ketekunan seseorang peniaga, kerana menjual barangan sektor pembuatan tidak selaris jualan barangan runcit seperti bekalan makanan di kedai runcit di mana pelanggan berpusu-pusu setiap hari untuk mendapatkannya. Malahan ia hanya berlaku secara bermusim iaitu ketika ada permintaan pelanggan, musim kedatangan pelancong dan juga musim tamu berkala, tetapi kadar jualan dan pendapatan agak lumayan jika mendapat tempahan dan belian yang banyak.

4.0           SENI TIKAR
Seni tikar merupakan satu jenis anyaman dan tradisi yang tidak mempunyai pengaruh luar. Seni anyaman yang sering dikaitkan dengan tikar bermula pada zaman dahulu kala dan kebanyakan hasilnya digunakan untuk pakaian, atap, tali dan keperluan kehidupan. Bahan asas yang paling awal digunakan untuk menghasilkan anyaman ialah akar dan rotan. Seni anyaman ini juga merupakan salah satu kreativiti masyarakat pada zaman dahulu untuk memanfaatkan sumber alam seperti buluh dan rotan untuk dijadikan sebahagian daripada keperluan hidup mereka. Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Keadaan ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika yang diperolehi di hutan-hutan banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza dan cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi yang boleh diperolehi daripada hutan. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman. Menurut Siti Zainun (1986), dalam buku Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi, semasa zaman pemerintahan Long Yunus di negeri Kelantan (1756-1794), penggunaan anyaman digunakan oleh raja di mana anyaman tersebut dipanggil ‘Tikar Raja’ yang diperbuat daripada pohon bemban. Revolusi penggunaan tikar sejak zaman dahulu dapat dilihat melalui penggunaan dan penghasilan seni tikar ini yang mana hierarki bawahan dalam sistem masyarakat menjadikan penghasilan tikar ini sebagai punca atau sumber ekonomi mereka. Sehingga kini menjelang era globalisasi terdapat lagi beberapa negeri masih aktif menjalankan kegiatan anyaman di peringkat kampung. Di peringkat negeri pula, negeri yang masih mengamalkan seni anyaman ialah Negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Kesinambungan untuk memartabatkan seni anyaman tikar ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan lagi seni tradisional Malaysia untuk diangkat ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu tonggak warisan negara bagi menunjukkan identiti negara Malaysia yang mempunyai seni dan kreativiti tersendiri yang perlu ditonjolkan untuk ikutan masyarakat dunia.

4.1           Fungsi dan Kegunaan Tikar
Budaya sesuatu bangsa bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan adat resamnya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangannya. Pada zaman dahulu, anyaman dilakukan oleh kaum wanita sebagai mengisi waktu lapang mereka, penguasaan seni anyaman di kalangan wanita terhadap seni anyaman ini sering dikaitkan dengan seorang wanita yang mempunyai sifat kewanitaan yang sempurna dan penghasilan anyaman tikar boleh dilakukan tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Pelbagai jenis tikar mempunyai fungsi dan penggunaan khusus seperti tikar yang diberi nama sebagai tikar parudan yang sering digunakan untuk tempat menadah isi kelapa yang diparut. Selain itu, tikar alas nikah adalah tikar yang dikhaskan sebagai tempat duduk pengantin lelaki semasa upacara akad nikah. Terdapat juga sejenis tikar yang dapat digunakan khasnya untuk menjemur padi. Tikar tersebut dikenali sebagai tikar jemuran. Kini, terdapat juga tikar yang dikhaskan penggunaannya. Sebagai contoh, tikar sering digunakan sebagai tikar sembahyang. Lazimnya tikar untuk kegunaan ini mengikut ukuran biasa bagi kegunaan untuk mengerjakan solat dan ibadat. Jika seseorang itu mengerjakan solat secara individu, maka, tikar yang digunakan adalah bersaiz biasa dan apabila mengerjakan solat berjemaah, maka, ukuran tikar yang digunakan sebagai alas lantai adalah besar berbanding yang biasa. Tikar dalam kehidupan masyarakat lama Melayu sangat luas penggunaannya. Antaranya ialah tikar digunakan sebagai alas lantai di sesebuah rumah. Walaupun kebersihan lantai atau telah sedia ada alas lantai di rumah, namun, bagi memenuhi adat resam apabila sesuatu ruang atau tempat letak hendak digunakan sebagai tempat duduk lazimnya dibentangkan tikar terlebih dahulu. Keadaan ini dilakukan sebagai menghormati tetamu yang datang berkunjung. Selain berfungsi sebagai hamparan tempat duduk, tikar juga sering digunakan untuk alas tidur yang bertujuan untuk memberi keselesaan dan dapat menghindarkan daripada debu dan kotoran. Namun, pada masa kini, tikar kurang digunakan untuk alas tidur sebaliknya tikar sering digunakan sebagai perhiasan di dinding rumah kerana kesenian tikar pada masa kini sangat unik dan mempunyai kehalusannya sendiri.

5.0           PERABOT
Barangan kraftangan yang menjadi perabot yang popular yang bersumberkan hutan adalah yang dihasilkan daripada buluh. Buluh adalah sejenis tumbuhan bukan kayu yang mampu memenuhi ciri-ciri tersebut. Sumber buluh bertaburan secara meluas di tepi-tepi sungai dan di kawasan-kawasan hutan yang terbuka seperti kawasan tanaman pindah dan kawasan yang sudah dikerja balak secara intensif. Secara tradisionalnya buluh begitu berguna dalam kehidupan seharian terutamanya bagi penduduk di sekitar Asia. Di Negeri Kelantan misalya kraftangan rotan dan buluh begitu popular. Kebanyakan rotan digunakan untuk membuat perabot seperti almari, kerusi, tempat beriadah dan sebagainya. Sementara buluh-buluh pula dijual dalam bentuk yang belum diproses pada pembeli-pembeli yang akan membekalkannya kepada pengusaha di luar negeri Kelantan bagi tujuan untuk membuat pencucuk sate, chopstick dan sebagainya. Meskipun begitu, terdapat juga produk-produk yang dihasilkan dari rotan dan buluh ini seperti sarang burung, sumpit, bakul, raga, alat menangkap ikan seperti bubu, serkap dan sebagainya. Ia dibuat terutamanya oleh orang-orang asli yang mendiami kawasan pedalaman negeri Kelantan. Walaubagaimanapun, hasil-hasil kraftangan daripada buluh ini tidak diusahakan secara komersial oleh masyarakat tempatan di Kelantan. Ia diusahakan secara sambilan sahaja terutamanya untuk kegunaan sendiri dan sebagai hobi masa lapang. Di Kelantan, penggunaan rotan adalah meluas terutamanya digunakan oleh pengusaha-pengusaha perabot yang mengusahakannya secara komersial. Perabot-perabot yang dihasilkan oleh pengusaha di negeri Kelantan mempunyai ketinggian daya ciptanya yang tersendiri. Ini dapat dilihat daripada seni buatannya yang kemas, halus dan teliti. Antara jenis perabot yang dihasilkan adalah seperti kerusi, almari, rak kasut dan sebagainya termasuklah sebagai lantai beranda rumah sesetengah individu. Perabot yang dihasilkan daripada buluh ini biasanya telah di cat terlebih dahulu dan telah diproses agar tidak memudaratkan penggunanya.

6.0           SUMBANGAN INDUSTRI KEPADA NEGARA
Sumbangan kraf kepada Malaysia telah meningkatkan perkembangan industri pelancongan selain menambahkan pendapatan dan peluang pekerjaaan kepada rakyat Malaysia. Kraf adalah industri warisan yang bergantung kepada kecekapan seseorang individu sehingga hasil kerja diberi nilaian yang tinggi. Namun kemahiran ini akan lenyap sekiranya tidak ada usaha untuk mengembangkan kepada generasi baru. Tindakan yang paling logik untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraftangan dalam negara. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraftangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Pengarah Usahawan Kraftangan Malaysia, Mokhtar Lop Abdullah berkata, berdasarkan statistik Kajian Industri Kraf 2007, jualan kraftangan bagi kategori hutan mencecah RM58.9 juta manakala yang berasaskan bukan hutan pula  RM10.9 juta. Menurut beliau lagi, kini terdapat 50 pengusaha barangan kraf yang telah membuka kilang sendiri yang menyediakan barangan kraf dengan peralatan yang canggih dan barangan kraf yang dihasilkan turut diedar di dalam dan luar negara dan ia agak memberangsangkan dari jumlah pendapatan pada tahun 2007. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif pula menjelaskan bahawa sememangnya barangan kraftangan memberi banyak sumbangan dari segi jumlah pelancong yang datang ke dalam negara. Bagi beliau, industri pelancongan dan industri kraftangan adalah saling berhubungan dan saling memerlukan antara satu sama lain. Menurut beliau lagi, barangan kraftangan yang dieksport ke luar negara seperti di negara barat akan menyebabkan nama Negara Malaysia akan dikenali dan mendorong para pelancong untuk datang ke negara kita untuk melihat sendiri produk tersebut dihasilkan. Namun yang demikian, kraftangan yang berasaskan hutan adalah dilihat sebagai suatu yang berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan pengusaha. Terdapat 6,200 pengusaha industri kraf di seluruh negara dan 60 peratus adalah pengusaha berasaskan industri rimba. Pulangan yang lumayan sebagai pengusaha berasaskan rimba ini menyebabkan ramai pengusaha kraftangan lebih gemar untuk menceburi bidang berasaskan hutan berbanding dengan batik dan tenunan iaitu dianggarkan 40 peratus pengusaha barangan kraftangan di Malaysia menjalankanya. Secara keseluruhannya, terdapat kira-kira RM73 juta disumbangkan oleh industri kraftangan kepada Negara Malaysia bagi pasaran domestik dalam tempoh sembilan bulan tahun 2010.

7.0           ISU DAN CABARAN DALAM PENGHASILAN KRAFTANGAN 
Kebelakangan ini, perniagaan kecil-kecilan seringkali mendapat perhatian meluas dari banyak pihak. Media massa seringkali melaporkan perkembangan, isu dan permasalahan serta cabaran perniagaan kecil termasuklah industri kraftangan di Malaysia dari semasa ke semasa. Perhatian yang cukup tinggi ini adalah selaras dengan kesedaran umum mengenai peranan dan sumbangan industri kraftangan kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhannya. Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha kecil yang sedang menceburi industri kraftangan. Selain itu, hasil kraftangan tempatan kini menghadapi masalah disebabkan terpaksa bersaing dengan negara-negara luar yang turut mengeluarkan barangan kraftangan seperti Thailand, Filipina dan Indonesia yang kadang-kadang lebih baik hasil buatannya kerana mendapat bantuan teknologi yang terkini. Dengan bantuan teknologi yang canggih bukan sahaja memperhaluskan dari segi penghasilan produk namun juga menjimatkan masa dan ianya bertepatan dengan konteks semasa perlancongan yang pelancong sentiasa inginkan barangan dengan segera dan tidak mempunyai masa untuk menanti dan menunggu sesuatu barangan itu dihasilkan. Pelancong pada masa kini juga bijak dalam menilai mutu dan buatan yang dihasilkan kerana telah berpengalaman. Kebanyakan pelancong telah biasa membeli barangan kraftangan di luar negara dan tahu untuk menilai mutu barangan kraftangan dan jika hasil kraftangan rakyat Malaysia yang agak rapuh, sudah tentu ia menjejaskan hasil jualan. Dari segi latihan kemahiran dan peningkatan mutu barangan, boleh dikatakan industri kraftangan masih kekurangan tenaga mahir. Tenaga-tenaga mahir yang diperlukan mungkin ada tetapi tidak menonjolkan bakat tersebut untuk diketengahkan. Persoalan yang timbul ialah mengapa kurangnya minat bagi belia-belia untuk menceburi bidang kraftangan. Ada juga golongan yang mempunyai kemahiran tetapi takut untuk menghadapi risiko yang mungkin dialami di dalam pasaran terbuka. Mereka juga tidak mendapat latihan formal yang sempurna berkaitan dengan rekabentuk yang ingin diusahakan. Bagi mereka yang takut menghadapi risiko tersebut, mereka meneruskan kerja-kerja kraftangan untuk kegunaan diri sendiri dan sebagai hobi sahaja. Risiko seperti kerugian sentiasa diberikan sebagai jawapan jika diajukan soalan. Mereka memberi alasan bahawa menjadi seorang pengusaha kraftangan adalah sukar kerana ia seperti mempertaruhkan kehidupan kerana jika seseorang itu bergantung sepenuhnya dengan menjadi seorang pengusaha kraftangan. Apabila tidak mendapat sambutan, maka pengusaha tidak mempunyai tempat untuk bergantung lagi dan lebih menyukarkan keadaan apabila modal perniagaan diperolehi daripada pinjaman dan memerlukan seseorang itu membayar semula yang pastinya agak sukar untuk mereka. Halangan yang seterusnya adalah dari segu mutu barangan kraftangan. Sesuatu barangan yang dihasilkan hendaklah bermutu dan berkualiti selaras dengan citarasa pembeli. Teknik dan teknologi moden dalam pembuatan kraftangan adalah penting untuk penghasilan rekabentuk yang baik. Mengeluarkan barangan dengan kos yang rendah, rekabentuk yang menarik dan bermutu tinggi adalah hasrat semua pengusaha barangan kraftangan. Selain itu, pengusaha-pengusaha kraftangan memulakan kegiatan mereka secara kecil-kecilan kerana kekurangan modal dan tidak dapat meninggikan permintaan di atas barangan yang dihasilkan kerana ketidakberkesanan dari segi pengeluaran bahan-bahan mentah. Rekacipta yang berteraskan tradisional perlu dikekalkan tetapi hendaklah tidak bercanggah dari kehendak dan citarasa pelanggan. Pada era moden dan globalisasi sekarang, manusia telah mula lebih cenderung untuk mendapatkan sesuatu produk yang lebih berunsurkan moden dan estetika dan tidak terlalu kompleks. Selain itu, citarasa pengguna pada masa kini juga adalah bersifat sesuatu yang mementingkan keselamatan atau sesuatu yang berunsurkan semulajadi tanpa mengandungi bahan-bahan kimia. Contohnya, perabot yang dihasilkan oleh pengusaha barangan kraftangan adalah tidak disaluti dengan bahan cat dan kimia bagi mengekalkan keasliannya kerana ia mendapat sambutan yang agak tinggi bukan sahaja pelancong luar negara tetapi juga penduduk tempatan. Kemampuan bersaing dari segi kualiti dan harga adalah aspek penting yang menentukan besar atau kecilnya peluang pasaran pengusaha tersebut. Eksport barang-barang hasil kraftangan Malaysia ada dipasarkan dengan baik di dalam negeri mahupun ke luar negara tetapi masih mendapat persaingan yang hebat dari barangan lain yang hampir sama buatannya yang dikeluarkan oleh negara-negara jiran. Terdapat banyak lagi kekangan yang terpaksa dihadapi oleh pengusaha-pengusaha kraftangan selain daripada yang dinyatakan dan keadaan ini membuatkan industri kraftangan berada pada peringkat yang sederhana namun turut memainkan peranan dalam pendapatan negara dan golongan-golongan pengusaha yang tertentu. Selain daripada aspek halangan terhadap individu, terdapat juga halangan yang berlaku dalam kalangan pengusaha kilang kraftangan seperti masalah pencemaran akibat sisa-sisa kilang seperti habuk, sisa-sisa toksid seperti cat dan vernis dan sebagainya. Dalam penghasilan perabot misalnya yang menggunakan mesin akan menghasilkan sisa-sisa hampagas yang amat cenderung membantu faktor pencemaran udara dan kaedah mengatasi yang terbaik adalah dengan meletakkan penapis pada cerobong setiap kilang. Manakala bagi masalah pencemaran sungai yang sering berlaku dengan pelepasan sisa-sisa cat pula, adalah baik jika sisa-sisa tersebut dimasukkan di dalam tong dan dibuang di tempat yang sepatutnya dan bukannya ke dalam sungai. Kebanyakan barangan kraftangan dihasilkan bersumberkan hasil hutan seperti pokok-pokok, daun-daun, buluh, rotan dan sebagainya. Perkara ini sebenarnya mendapat perhatian pihak kerajaan dan bebrapa langkah-langkah sokongan dilakukan seperti menubuhkan beberapa jabatan kerajaan yang menyelaras dan bertugas sebagai platform pengusaha-pengusaha kraftangan memperkembangkan hasil kraftangan mereka. Namun, pada masa yang sama beberapa kekangan juga turut berlaku seperti banyak hutan-hutan di Malaysia kini telah diwartakan dan dijadikan sebagai hutan simpanan kerajaan dan ia menyebabkan kesukaran berlaku kepada pengusaha-pengusaha kraftangan yang boleh dikatakan bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan untuk menghasilkan barangan kraftangan.

8.0           Masa Depan Kraftangan
Industri kraftangan sememangnya bergantung kepada hutan, kerana hampir kesemua hasil kraftangan yang dihasilkan adalah bersumberkan kepada hutan. Hutan bukan sahaja membekalkan oksigen, membekalkan makanan, dan sebagainya namun juga terdapat jenis kayu-kayu yang ada di dalam hutan berpotensi tinggi untuk dijadikan barangan kraftangan dan mampu menjana pendapatan pengusaha industri dan kerajaan amnya. Industri Kraftangan sememangnya memberi sumbangan yang agak besar kepada pendapatan negara. Walaupun terdapat beberapa halangan atau kekangan seperti kekurangan teknologi, modal, tenaga mahir dan sebagainya, namun industri ini masih dapat bertahan di negara kita dan juga sentiasa mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada para pelancong yang datang dari luar negara juga tempatan. Oleh yang demikian, industri kraftangan perlu dipertingkatkan lagi untuk menjamin perkembangan ekonomi negara dan untuk mengukuhkan lagi identiti kebudayaan negara. Kraftangan tradisional yang telah diusahakan sejak turun temurun merupakan seni dalam pertukangan sebagai daya ekonomi. Masyarakat yang berbilang bangsa dalam negara adalah faktor yang penting jika dibandingkan dengan negar-negara di asia yang lain sebagai pengeluar berbagai jenis barangan kraftangan tradisional. Dengan kata lain, disebabkan negara Malaysia mempunyai pelbagai kaum, maka barangan kraftangan yang dihasilkan juga berbeza-beza dan berlainan antara setiap kaum. Dalam usaha memperkasakan industri kraftangan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah mengadakan Hari Kraf Kebangsaan bagi mengiktiraf pengusaha dan penggiat kraf dalam mengembangkan industri kraf negara. Walaupun kraftangan tidak memberi pulangan yang lumayan tetapi jika diusahakan secara lebih teratur, perusahaan ini boleh membantu meningkatkan pendapatan ramai yang bekerja separuh masa atau bersendirian yang biasanya berpendapatan rendah. Kraf adalah industri warisan yang bergantung banyak kepada kecekapan tangan individu yang terlibat. Kraf jika diuruskan secara komersial boleh mendatangkan pendapatan dan pekerjaan. Sumbangan hutan Malaysia dilihat mampu memenuhi permintaan pasaran di peringkat antarabangsa. Namun begitu, isu kepentingan hutan di Malaysia harus dilindungi bukan sahaja di pihak berkuasa tetapi juga dari segenap lapisan masyarakat Malaysia.  Bagi membangunkan kawasan luar bandar, kerajaan perlu memperbaharui konsep satu kampung satu industri dengan cara mengadakan satu kilang kecil bagi menghasilkan kraftangan.  Dengan adanya projek seumpama ini sudah tentu ramai penduduk kampung mendapat pekerjaan dan pendapatan terutama yang berpendapatan rendah. Dengan adanya usaha untuk memelihara dan meneruskan kegiatan kraftangan, taraf  hidup masyarakat yang menyertai akan meningkat. Kraf mencerminkan budaya dan seni bangsa Malaysia. Potensi kraftangan sebagai industri boleh memberikan pulangan yang baik disamping menghidupkan warisan kraf Malaysia. Kedatangan pelancong dari luar memberi kesan kepada industri kraf di Malaysia sebagai tempat untuk mendapatkan produk yang bersumberkan hutan Malaysia.  Dengan adanya usaha mengeksploitasikan sumber hutan semula jadi di Malaysia  sudah tentu kraf  mampu memberikan pulangan yang tinggi kepada ekonomi masyarakat setempat dan Malaysia keseluruhannya.  Seni kraftangan tradisional merupakan satu sumbangan yang tidak ternilai yang dilakukan oleh tukang kraf yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan kepakaran yang diwarisi sejak turun-temurun. 

9.0           KESIMPULAN
Kesimpulannya, kraftangan di Malaysia mempunyai potensi yang baik jika diteruskan dan diberi suntikan dari segi dana untuk memasarkannya di luar negara. Kraftangan adalah satu warisan turun-temurun yang sehingga hari ini masih dilakukan dan mernjadi sumber pendapatan sesetengah penduduk di Malaysia. Kraftangan dilihat sebagai satu simbol atau identiti negara Malaysia pada pandangan negara luar kerana memiliki unsur-unsur tradisional dan keagamaan yang kuat yang mencerminkan rakyat Malaysia sendiri. Kraftangan di Malaysia pada hari ini masih pada tahap yang rendah kerana sebilangan pengusaha tidak berani untuk menyahut seruan kerajaan untuk memperkembangkan perusahaan kecil mereka kepada global kerana takut memperjudikan nasib mereka sendiri dan lebih gemar mengekalkan dengan mengusahakan secara kecil-kecilan sahaja. Selain itu, pengusaha kraftangan juga melihat akan faktor-faktor semasa seperti kebanyakan polisi kerajaan pada masa kini lebih kepada menyelamatkan alam sekitar dan melarang penebangan pokok secara haram dan ini menyukarkan lagi bagi mereka untuk mendapatkan hasil hutan untuk menghasilkan barangan kraftangan. Kewujudan masalah-masalah ini adalah disebabkan mesej kerajaan tidak sampai kepada pengusaha ini sendiri bahawa kerajaan Malaysia menyokong akan perkembangan hasil kraftangan ini dan memberi bantuan dari segi kewangan untuk memperkembangkan lagi perusahaan mereka ini.

RUJUKAN

Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979. Akta 222

Cooper, C., Fletcher, J., Gilbert, D., and Wanhill, S. (1998). Tourism :
Principles and Practice. Edinburg: Addison Weley Longman. Ltd.

Ismail Ibrahim, (2007). Warisan Motif dan Corak, Kota Kinabalu: Universiti
Malaysia Sabah.

Jamaluddin Che Sab (2004). “Bagaimana Memulakan Perniagaan”. Pahang:
PTS Publication and Distributors Sdn. Bhd.

Jefferson, A., and Lickorish, L. (1991). Marketing Tourism, Harlow, Essex. UK:
Longman

Malaysian Timber Council, 2004. Fact Sheets Forestry and Environment.

Malaysian Timber Council, 2010. Malaysia: Forestry and Environment (Facts
and Figures).

Malaysian Timber Council, 2007. Malaysia: Pengurusan Hutan Mapan.

Mohd. Shahwawid Othman,  (1995).  Ekonomi Sumber Hutan. Kuala  Lumpur:
Dewan Bahasa dan  Pustaka.

Mohamad Dahlan Ibrahim (2002). “Pengurusan Kewangan Perniagaan Kecil
dan Sederhana”. Selangor : Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Osman Mohamad dan Fauziah Md. Taib, (2000). “Pengurusan Perniagaan :
Konsep, Strategi dan Operasi”. Malaysia: Mc Graw Hill (M) Sdn. Bhd.

Saudah Sofian, Noriza Mohd Jamal, Puteri Khairul Bahariah Mohd. Mansor
(1999). “Keberkesanan Pengurusan Kewangan di Kalangan Industri Kecil dan Sederhana Bumiputera di Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia.

Siti Zainon ismail, (1986). Reka Bentuk Kraftangan Melayu Tradisi. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Wells, A., (2006). Country Case Study 8 Systems for Verification of Legality in
the Forest Sector. Malaysia: Domestic Timber Production and Timber Imports

SUMBER INTERNET
http://www.kraftangan.gov.my/ di akses pada 02/04/2011
http://www.malaysiancraft.com/ di akses pada 02/04/2011



2 comments:

  1. Saya telah berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan pinjaman Suzan yang meminjamkan uang tanpa membayar lebih dulu.

    Nama saya Amisha, saya ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan orang-orang yang mencari pinjaman internet di Asia dan di seluruh dunia untuk berhati-hati, karena mereka menipu dan meminjamkan pinjaman palsu di internet.

    Saya ingin membagikan kesaksian saya tentang bagaimana seorang teman membawa saya ke pemberi pinjaman asli, setelah itu saya scammed oleh beberapa kreditor di internet. Saya hampir kehilangan harapan sampai saya bertemu kreditur terpercaya ini bernama perusahaan Suzan investment. Perusahaan suzan meminjamkan pinjaman tanpa jaminan sebesar 600 juta rupiah (Rp600.000.000) dalam waktu kurang dari 48 jam tanpa tekanan.

    Saya sangat terkejut dan senang menerima pinjaman saya. Saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman mudah tanpa stres. Jadi jika Anda memerlukan pinjaman, hubungi mereka melalui email: (Suzaninvestment@gmail.com) Anda tidak akan kecewa mendapatkan pinjaman jika memenuhi persyaratan.

    Anda juga bisa menghubungi saya: (Ammisha1213@gmail.com) jika Anda memerlukan bantuan atau informasi lebih lanjut

    ReplyDelete
  2. The 10 Best Casino Apps (2021) | JtmHub
    The 10 계룡 출장샵 Best Casino 거제 출장샵 Apps 청주 출장안마 (2021) · Red Dog – Hotel & Casino · Ruby Fortune 강원도 출장샵 – Vegas Slots · 부천 출장샵 The Big Bad Guys – Slots · The Goonies – Slots.

    ReplyDelete